1. |
Dia memasamkan muka dan berpaling,
|
2. |
Kerana dia didatangi orang buta.
|
3. |
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! -
|
4. |
Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.
|
5. |
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),
|
6. |
Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
|
7. |
Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).
|
8. |
Adapun orang yang segera datang kepadamu,
|
9. |
Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah);
|
10. |
Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.
|
11. |
Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).
|
12. |
Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya.
|
13. |
(Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan;
|
14. |
Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan);
|
15. |
(Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz;
|
16. |
(Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.
|
17. |
Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?
|
18. |
(Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah?
|
19. |
Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;
|
20. |
Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih);
|
21. |
Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan;
|
22. |
Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).
|
23. |
Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.
|
24. |
(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):
|
25. |
Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.
|
26. |
Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan;
|
27. |
Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
|
28. |
Dan buah anggur serta sayur-sayuran,
|
29. |
Dan zaitun serta pohon-pohon kurma,
|
30. |
Dan taman-taman yang menghijau subur,
|
31. |
Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput;
|
32. |
Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
|
33. |
Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat;
|
34. |
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
|
35. |
Dan ibunya serta bapanya,
|
36. |
Dan isterinya serta anak-anaknya;
|
37. |
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.
|
38. |
Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,
|
39. |
Tertawa, lagi bersuka ria;
|
40. |
Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,
|
41. |
Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita.
|
42. |
Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. |