1. |
Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -
|
2. |
(Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya -
|
3. |
(Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;
|
4. |
(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu -
|
5. |
Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.
|
6. |
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.
|
7. |
Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;
|
8. |
(Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,
|
9. |
Untuk mengusir mereka dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.
|
10. |
Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka dia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.
|
11. |
(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).
|
12. |
(Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka) dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).
|
13. |
Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu.
|
14. |
Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, -
|
15. |
Serta mereka berkata: Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
|
16. |
Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula?
|
17. |
Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?
|
18. |
Jawablah (wahai Muhammad): Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina.
|
19. |
(Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).
|
20. |
Dan (pada saat itu) mereka berkata: Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan!
|
21. |
(Lalu malaikat berkata kepada mereka): Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya.
|
22. |
(Allah berfirman kepada malaikat): Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah -
|
23. |
Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke Neraka.
|
24. |
Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:
|
25. |
Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?
|
26. |
(Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);
|
27. |
Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.
|
28. |
Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu.
|
29. |
Ketua-ketuanya menjawab: (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!
|
30. |
Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.
|
31. |
(Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).
|
32. |
(Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat
|
33. |
Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.
|
34. |
Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.
|
35. |
Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah mereka bersikap takbur mengingkarinya, -
|
36. |
Serta mereka berkata: Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?
|
37. |
(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid) dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).
|
38. |
Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
39. |
Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;
|
40. |
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik,
|
41. |
Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,
|
42. |
Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,
|
43. |
Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.
|
44. |
Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;
|
45. |
Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir,
|
46. |
Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya,
|
47. |
Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.
|
48. |
Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;
|
49. |
(Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (Burung Kasawari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
|
50. |
(Tinggallah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.
|
51. |
Seorang di antaranya berkata: Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).
|
52. |
katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?
|
53. |
Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan?
|
54. |
(Setelah menceritakan perihal rakannya itu) dia berkata lagi: Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?
|
55. |
Maka dia pun memandang (ke arah Neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah Neraka yang menjulang-julang.
|
56. |
Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.
|
57. |
Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayat petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab).
|
58. |
(Kemudian dia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi;
|
59. |
Selain dari kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa?
|
60. |
Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.
|
61. |
Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).
|
62. |
Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?
|
63. |
Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
|
64. |
Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang;
|
65. |
Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
|
66. |
Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
|
67. |
Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
|
68. |
Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam Neraka yang menjulang-julang.
|
69. |
Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;
|
70. |
Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.
|
71. |
Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga sebelum kaummu (wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.
|
72. |
Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.
|
73. |
Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, -
|
74. |
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
|
75. |
Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.
|
76. |
Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.
|
77. |
Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).
|
78. |
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
|
79. |
Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam !
|
80. |
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.
|
81. |
Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
|
82. |
Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).
|
83. |
Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.
|
84. |
Ketika dia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.
|
85. |
Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apa yang kamu sembah?
|
86. |
Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?
|
87. |
Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?
|
88. |
Kemudian dia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),
|
89. |
Lalu berkata: Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama).
|
90. |
Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.
|
91. |
Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): Mengapa kamu tidak makan?
|
92. |
Mengapa kamu tidak menjawab?
|
93. |
Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).
|
94. |
(Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.
|
95. |
(Bagi menjawab bantahan mereka), dia berkata: Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?
|
96. |
Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!
|
97. |
(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu.
|
98. |
Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).
|
99. |
Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
|
100. |
Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!
|
101. |
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
|
102. |
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
|
103. |
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
|
104. |
Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!
|
105. |
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
|
106. |
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
|
107. |
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
|
108. |
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
|
109. |
Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!.
|
110. |
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
|
111. |
Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
|
112. |
Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.
|
113. |
Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.
|
114. |
Dan demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.
|
115. |
Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;
|
116. |
Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);
|
117. |
Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;
|
118. |
Dan Kami berikan hidayat petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.
|
119. |
Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
|
120. |
Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!
|
121. |
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
|
122. |
Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.
|
123. |
Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
|
124. |
(Ingatkanlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
|
125. |
Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?
|
126. |
Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!
|
127. |
Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),
|
128. |
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
|
129. |
Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
|
130. |
Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!
|
131. |
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
|
132. |
Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
|
133. |
Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
|
134. |
(Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,
|
135. |
Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.
|
136. |
Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).
|
137. |
Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): Berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.
|
138. |
Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.
|
139. |
Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
|
140. |
(Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
|
141. |
(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelungsurkan (ke laut).
|
142. |
Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak.
|
143. |
Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
|
144. |
Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
|
145. |
Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit.
|
146. |
Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.
|
147. |
Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.
|
148. |
(Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).
|
149. |
(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak-anak lelaki?
|
150. |
Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu perempuan?
|
151. |
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
|
152. |
Allah beranak; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!
|
153. |
(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dialah yang menciptakannya)?
|
154. |
Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
|
155. |
Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?
|
156. |
Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?
|
157. |
(Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.
|
158. |
(Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).
|
159. |
Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!
|
160. |
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat dan akan mendapat sebaik-baik balasan).
|
161. |
Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik) dan apa yang kamu sembah itu.
|
162. |
Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya;
|
163. |
Kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam Neraka yang menjulang-julang.
|
164. |
(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);
|
165. |
Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),
|
166. |
Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!
|
167. |
Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:
|
168. |
Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu
|
169. |
Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!
|
170. |
(Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).
|
171. |
Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul -
|
172. |
Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan
|
173. |
Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).
|
174. |
Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
|
175. |
Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).
|
176. |
Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!
|
177. |
Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.
|
178. |
Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
|
179. |
Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.
|
180. |
Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan!
|
181. |
Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.
|
182. |
Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |