1. |
Aku bersumpah dengan hari kiamat;
|
2. |
Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
|
3. |
Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?
|
4. |
Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
|
5. |
(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat).
|
6. |
Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?
|
7. |
Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),
|
8. |
Dan bulan hilang cahayanya,
|
9. |
Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,
|
10. |
(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri?
|
11. |
Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
|
12. |
Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.
|
13. |
Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan.
|
14. |
Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
|
15. |
Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
|
16. |
Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).
|
17. |
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
|
18. |
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
|
19. |
Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).
|
20. |
Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.
|
21. |
Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).
|
22. |
Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
|
23. |
Melihat kepada Tuhannya.
|
24. |
Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,
|
25. |
Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.
|
26. |
Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,
|
27. |
Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?
|
28. |
Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;
|
29. |
Serta kedahsyatan bertindih-tindih;
|
30. |
(Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan).
|
31. |
(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!
|
32. |
Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling ingkar!
|
33. |
Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
|
34. |
(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!
|
35. |
Kemudian api Nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
|
36. |
Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
|
37. |
Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?
|
38. |
Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?
|
39. |
Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.
|
40. |
Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)! |